Tuesday 4 September 2012




MENCEMBURUI GAJI GURU     



1.0  Pendahuluan

Saban tahun, tanggal 16 Mei pasti disambut oleh setiap warga pendidik dan anak didik di segenap ceruk sebagai suatu hari yang cukup bermakna.  Sambutan hari guru pasti dirai setiap tahun sebagai pengiktirafan teristimewa kepada golongan pendidik sama ada pensyarah, pengetua dan juga guru kerana semuanya berjasa semenjak dahulu sehingga ke era globalisasi di alaf baru ini. Guru sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kadang-kala tidak terduga dan sebagai manusia biasa, seorang guru juga mempunyai batasan kemampuan. Tambahan pula, penanda aras dalam bidang keguruan semakin meningkat dan berbeza setiap tahun. Para guru telah mencuba sedaya upaya bagi menempuhi cabaran semasa dan mendepani cabaran mendatang berbekalkan pengalaman lalu beserta semangat kental warga pendidik itu sendiri.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman milenium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan. Kata-kata daipada beliau jelas membuktikan betapa besarnya peranan guru dalam mendidik anak-anak masa kini yang merupakan modal insan serta bakal pemimpin di masa hadapan terutama dalam merealisasikan wawasan negara muncul sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 termasuk pembangunan yang berterusan serta seimbang. Banyak perkara yang perlu dilakukan oleh guru namun telah banyak juga jasa yang telah dicurahkan selama ini.

Malangnya, terdapat sebahagian daripada kita yang tidak menghargai jasa guru dengan pelbagai tohmahan termasuk menganggap gaji guru kini sudah melebihi daripada yang sepatutnya. Ada juga yang mendakwa guru asyik meminta berbagai-bagai keistimewaan dan kelebihan namun prestasi guru tidak seperti yang dikehendaki. Golongan yang mendakwa sedemikian mungkin bukan berada dalam bidang perguruan dan tidak tahu menahu bidang tugas seorang guru pada masa kini termasuk tugas-tugas sampingan yang pelbagai. Tugas sebagai guru merupakan suatu kerjaya yang sangat mulia dan dihormati. Namun, penghormatan dan pujian sedemikian adalah kerana tanggungjawab yang dipikul begitu berat dan mencabar. Masyarakat harus terus menyokong para guru demi mendidik dan melahirkan anak bangsa yang berjaya selaras dengan matlamat pendidikan negara.


2.0  Perkembangan Hujah

Guru merupakan penjawat awam teramai di negara ini. Berdasarkan perangkaan tahun 2010, bilangan guru yang dicatatkan adalah seramai 405 715 orang yang berkhidmat di 7695 buah sekolah rendah dan 2248 buah sekolah menengah di seluruh pelusuk negara. Maklumat ini boleh diperolehi dalam laman sesawang kementerian pelajaran Malaysia. Kalau dihitung dari sudut kuantiti, sepatutnya guru dan kebajikan guru diberi keutamaan berbanding bidang kerjaya yang lain. Namun, bukanlah soal kepentingan gaji dan materialistik semata-mata yang dicari oleh golongan pendidik tetapi penghargaan yang sepatutnya diperolehi oleh seorang guru hasil pengorbanan yang diberikan selama ini.

Guru bukanlah menuntut perkara yang berlebihan, namun janganlah ada pihak yang mencemburui pendapatan guru pada hari ini. Terdapat segelintir individu yang mendakwa pendapatan guru begitu tinggi jika dibandingkan dengan khidmat yang diberi. Individu terbabit mungkin merujuk kepada guru yang bermasalah dan malas, tetapi ketahuilah majoriti guru lain yang sedia dan setia berkhidmat dengan penuh keikhlasan menyebar ilmu di sekolah-sekolah seluruh tanah air. Kajian harus dijalankan sekiranya ada pihak yang mendakwa pendapatan guru adalah tinggi dan tidak munasabah kerana kebanyakan daripada kita maklum pendapatan guru tidaklah seberapa berbanding tugas yang harus dilaksanakan dalam era ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam terutama guru pada pembentangan bajet 2012 oleh kerajaan baru-baru ini adalah selaras dengan bebanan kerja dihadapi warga pendidik kini.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang. 
“Memang pengumuman Bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kali ini menyaksikan kenaikan gaji kakitangan awam yang mana guru mendapat sedikit kelebihan, namun, bagi saya ia bertepatan dengan tugas dan tanggungjawab guru kini. 
“Jika kita lihat negara maju, Jepun, Sweden dan Korea, gaji warga pendidik mereka adalah tinggi. Begitu juga dengan negara jiran kita Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Kenyataan Presiden NUTP ini jelas menunjukkan gaji guru tidaklah begitu tinggi seperti yang didakwa sesetengah pihak bahkan gaji guru di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara-negara maju. Lagipun, jika gaji yang dijadikan ukuran adalah tidak mampu sebenarnya untuk membalas jasa guru yang menabur budi dengan ikhlas. Pepatah melayu ada berbunyi ‘hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’. Guru-guru yang ikhlas berkhidmat sebenarnya bukanlah hanya bekerja memenuhi syarat dan pekeliling semata-mata tetapi sedang menabur budi yang tentu sekali tidak mampu dibalas dengan harta dan gaji.

Kerjaya sebagai pendidik masa kini terutama guru-guru di sekolah bukan sahaja mengajar ilmu kepada para pelajar tetapi terpaksa menghadapi dan menangani masalah disiplin pelajar yang kian mencabar dewasa ini. Guru bukan sahaja mempunyai peranan dan tanggungjawab mengajar tetapi juga mengurus dan mendidik termasuk membentuk sikap, nilai dan akhlak anak didik melalui pengajaran formal, tidak formal dan melalui tingkah laku perwatakan guru sendiri. Guru memainkan peranan penting dalam mendisiplinkan pelajar kerana guru adalah orang yang paling rapat dan perantara lansung antara murid dengan kehendak sekolah dan sistem pendidikan. Maka, bertambahlah beban tugas seorang guru biasa di sekolah sebagai pelaksana disiplin sekolah kerana tanggungjawab dan tugas membentuk sahsiah pelajar adalah rutin hakiki semua guru dan bukan tanggungjawab Guru Besar atau pengetua, guru-guru Penolong Kanan dan guru-guru disiplin semata-mata.

Perkara ini jelas dan terdapat di dalam pekeliling yang berkenaan. Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975 mengenai Disiplin Di Sekolah, Peraturan-peraturan
Sekolah untuk Murid-murid. “Adalah seperti tuan termaklum, satu di antara tujuan pelajaran ialah untuk menanamkan asas disiplin ke dalam hati sanubari murid-murid sekolah. Ini bukan tugas dan tanggungjawab guru besar sahaja, bahkan tugas dan tanggungjawab semua guru lain. Oleh hal yang demikian semua guru hendaklah juga memahami benar-benar bahawa tiap-tiap mereka itu adalah bertanggungjawab untuk memelihara disiplin sesebuah sekolah”.
Buku Panduan Tatacara Disiplin SekolahUntuk Guru Besar dan Guru (1988).

Selain menguruskan pelajaran dan disiplin murid, guru juga terpaksa menggalas tugas pengkeranian dan kokurikulum murid. Selain wajib mengisi buku rekod pengajaran yang diibaratkan sebagai nyawa seorang guru, guru juga perlu menyiapkan fail-fail yang pelbagai termasuk yang diluar bidang tugasnya. Umum mengetahui, tugas seorang guru bukanlah bermula pukul 7.40 pagi dan tamat pukul 2.00 petang semata-mata. Saban hari, tugas guru semakin bertimbun dan tugasnya tidak hanya berjalan di sekolah tetapi dibawa balik kerumah. Di saat orang lain lena dibuai mimpi indah, para guru sibuk mengisi markah pelajar-palajar yang diuruskan secara atas talian. Para guru terpaksa mengorbankan waktu tidur di tengah malam kerana talian internet amat sibuk ketika waktu siang.

Guru-guru yang beramanah tidak pernah menyesal dengan bidang kerjaya yang diceburi cuma memohon tugas mulia yang dijunjung tidak diperkecilkan dan soal gaji guru yang didakwa tinggi tidak patut diperkatakan.


3.0  Implikasi Hujah

Guru sememangnya harus sedaya upaya melaksanakan amanah yang diberikan oleh ibubapa dalam mendidik anak bangsa. Alangkah indahnya, amanah yang ditanggung itu disokong pula oleh masyarakat serta didokong oleh kerajaan secara berterusan. Dalam menjayakan perubahan dalam pendidikan, semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan setiap perancangan yang dibuat berjalan dengan sebaiknya (Najeemah 2006). Guru dengan kerjasama daripada semua pihak mampu menjadikan sekolah sebagai magnet dan tarikan kepada pelajar untuk belajar dan menimba ilmu dalam usaha menggapai cita-cita.

Soal tidak puas hati dengan pendapatan guru yang didakwa tinggi dan lebih dari mencukupi boleh dibawa berbincang. Perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu sebelum mengwar-warkan perkara yang belum jelas. Perkara sebegini boleh menyebabkan hati para guru terguris. Guru-guru yang ikhlas mendidik tanpa rasa jemu tidak patut disindir dan dibahas berkenaan gaji dan bidang tugas guru. Hanya kerana segelintir guru melakukan kesilapan, tidak semua guru harus memikulnya. Bayangkan jika guru terasa dengan kata-kata tersebut, pasti mereka akan merasa jasa dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini tidak diberi penghargaan yang sewajarnya.

Penghargaan dan kehormatan yang diberikan masyarakat kepada para guru bukan sedikit maknanya terhadap golongan pendidik ini. Semakin tinggi sanjungan yang diberi, semakin meningkat juga tanggungjawab guru dalam memikul amanah ibu dan bapa. Semakin lumayan pendapatan yang diterima, semakin banyak lagi khidmat yang harus dilakukan. Para guru faham bahawa bidang pendidikan semakin mencabar dan menuntut kepada perubahan. Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman millennium. Guru bersedia melaksanakan perubahan dan mendengar tuntutan-tuntutan berkenaan, namun salahkah untuk guru membuat sedikit tuntutan yang munasabah. Tuntutan guru bukanlah paksaan atau ugutan tetapi lebih kepada permintaan demi kebaikan bidang pendidikan itu sendiri. ‘Hanya jauhari yang mengenal manikam’. Hanya guru yang mengetahui masalah-masalah yang berkaitan di sekolah dan sebaik-baik penyelesaian adalah penyelesaian daripada pihak guru sendiri kerana mereka berada dalam bidang ini.

Disamping itu, tuntutan yang dikemukakan oleh guru sering dilabelkan sebagai tuntutan melampau sedangkan penjawat lain juga ada membuat tuntutan masing-masing. Guru tidak harus dipersalahkan dengan tuntutan yang dibuat kerana tuntutan tersebut tidak semestinya ditunaikan dan pastinya kerajaan akan meneliti terlebih dahulu sebarang tuntutan yang dibuat.

Pihak berkenaan yang tidak berpuas hati dengan pendapatan guru yang didakwa begitu lumayan sering melontarkan tohmahan tidak berasas melalui laman-laman blog. Beberapa laman blog berkenaan mendakwa antaranya waktu bertugas guru yang pendek dan cuti guru yang banyak disamping cuti tambahan lain. Pihak berkenaan ternyata tidak menyelami perit jerih seorang guru. Usah dipeduli guru yang bermasalah tetapi lihatlah kepada guru-guru yang benar beramanah. Lagipun, kualiti seorang guru sentiasa dipantau. Pengetua atau guru besar sentiasa melihat prestasi setiap guru dan memberi markah mengikut pencapaian dan sikap guru berkenaan sepanjang masa di sekolah. Justeru itu, soal pendapatan guru yang lumayan dan dikatakan tidak sepadan dengan beban tugas yang ringan tidak patut timbul. Hal ini adalah kerana setiap guru perlu menjalankan tanggungjawab yang digalas dengan betul ataupun markah prestasi mereka akan merudum sekiranya berlaku perkara yang sebaliknya.

Segala isu yang timbul sebenarnya boleh dibawa ke meja rundingan. Para guru sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima kritikan dan cadangan yang membina. Para pendidik juga amat mengalu-alukan sumbangan idea dalam memantapkan lagi profesion perguruan dan meningkatkan bidang kerjaya ini ke suatu tahap yang lebih tinggi dan berkualiti. Isu cemburu mencemburui gaji guru mungkin timbul ekoran ketidakfahaman pihak tertentu berkaitan kehidupan seorang yang yang bergelar pendidik. Ada segelintir pihak yang beranggapan elaun guru pedalaman terlalu mewah terutama yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak. Lebih dari itu, pihak terbabit juga mendakwa segala kelengkapan telah disediakan dan para guru tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membeli barangan seperti kelengkapan dapur dan sebagainya. Hakikat yang sebenar adalah berbeza sama sekali daripada apa yang telah didakwa. Para guru di pedalaman Sabah dan Sarawak memang memperoleh elaun khas namun kos hidup di sana juga begitu tinggi. Ada yang terpaksa menaiki bot panjang untuk ke pekan terdekat. Tambang bot dan harga barangan yang lebih mahal di pedalaman merelevankan betapa elaun khas tersebut perlu dinikmati oleh guru yang berkhidmat di pedalaman.


Selain itu, ada juga pihak yang mendakwa guru menikmati gaji dan elaun yang tinggi sedangkan berkerja hanya untuk kepentingan sendiri sahaja. Kenyataan sebegini mungkin sesuai untuk beberapa orang guru yang culas tetapi sangat mencemar imej guru-guru lain yang memerah keringat tanpa memikirkan kepentingan peribadi dan keluarga sendiri semata-mata. Cukuplah melemparkan tohmahan kepada guru secara membuta tuli. Guru dan masyarakat yang saling bercakaran boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada anak didik. Tohmahan-tohmahan berkenaan memungkinkan masyarakat memandang serong terhadap tugas guru. Penulis-penulis blog harus berfikir banyak kali sebelum memuat naik tulisan yang boleh mencetus keraguan masyarakat terhadap kredibiliti seorang guru. Perkara ini boleh menjejaskan masa hadapan anak-anak sekaligus merencatkan wawasan negara kearah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Ayuh gemblengkan tenaga dan capai muafakat dalam memartabatkan bidang pendidikan negara. Hasilnya akan dinikmati oleh semua bukan hanya golongan guru semata-mata.


4.0  Cadangan dan Rumusan

Guru berhak mendapat ganjaran yang setimpal dengan beban tugasan mereka khususnya guru yang mengajar, memimpin, mendidik, dan yang menjadi lilin kepada kesamaran dan kegelapan di pedalaman walaupun mereka sendiri terpaksa bergelap. Semua kerjaya mempunyai peranan masing-masing. Peranan guru begitu besar dan amat penting kerana guru bukan sahaja mengajar tetapi lebih daripada itu, guru merupakan pemimpin dan juga ibu bapa semasa pelajar berada di sekolah. Elaun-elaun khas juga sewajarnya diberikan kepada guru-guru yang berkhidmat jauh di pedalaman selain elaun-elaun khas yang lain.

Di samping itu, guru juga merupakan insan yang paling rapat dengan pelajar semasa di sekolah. Guru akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan sekiranya belaku apa-apa perkara yang tidak diingini terhadap pelajar sewaktu berada di sekolah ataupun mengikuti program yang melibatkan pihak sekolah. Justeru itu, sesuai dengan tanggungjawab yang diamanahkan, ganjaran berupa gaji dan elaun juga haruslah setimpal dengan apa yang dilakukan.

Tuntutan-tuntutan yang dibuat para guru dan kesatuan guru juga bukanlah bermaksud guru-guru tidak ikhlas dalam menabur bakti tetapi merupakan jalan penyelesaian kepada masalah yang boleh membantutkan tugas guru semasa menjalankan tugas. Fahamilah tugas guru yang semakin mencabar dan bertambah dari semasa ke semasa.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib ada menyebut pendapatan guru di negara ini adalah tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di negara maju. Biarlah gaji tidak setimpal, tetapi apa yang diharapkan guru adalah sekadar penghargaan mungkin yang diberi dalam bentuk sekuntum bunga mahupun sekeping kad ucapan daripada pelajar mahupun sekadar senyuman daripada masyarakat. Walaubagaimanapun, guru tidak harus menjadikan isu-isu berkenaan sebagai peluntur semangat untuk terus mendidik anak bangsa tetapi menganggap kritikan berkenaan sebagai dorongan untuk mencapai tahap yang lebih baik sekaligus membuktikan kesungguhan dan keikhlasan dalam bidang kerjaya yang diceburi.


Guru-guru harus memahami, pendidik zaman kini memang terlalu banyak cabarannya.cabaran ini harus dilihat dari sudut rasional dan kepentingan bersama. Seandainya guru yang tidak berfikir secara waras, maka timbullah perasaan tertekan terhadap dakwaan yang ditimbulkan ditambah bebanan kerja yang merupakan tanggungjawab pendidik itu sendiri. Merungut bukanlah penyelesaian yang baik. Menyalahkan orang lain juga bukan suatu jawapan yang baik. Maka tidak lain dan tidak bukan, dalam menghadapi cabaran dan kekangan yang pelbagai ini, ketabahan amat dituntut dan kebijaksanaan dalam mencari penyelesaian merupakan keutamaan.


Antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru. Ini adalah kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat. Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakatnya. Oleh hal yang demikian, kita haruslah berterima kasih kepada guru, kerana jasa merekalah, kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira. Pada masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah kerana memasukkan ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru.

Guru memainkan peranan yang besar dalam pendidikan ummah. Justeru itu guru harus mempunyai sifat-sifat pemimpin yang baik. Guru juga adalah pendidik, kaunselor, pendakwah, ikutan dan pemimpin. Semua tugas ini dijalankan secara serentak dan memerlukan kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut. Pengorbanan guru yang sedemikian rupa memerlukan kerjasama dan sokongan daripada masyarakat dalam mewujudkan suasana harmoni dan kondusif kepada anak didik. Dekad yang mutakhir ini, pelbagai tohmahan diterima oleh warga pendidik. Semua tohmahan tersebut haruslah dijadikan batu loncatan untuk melonjakkan lagi prestasi serta membaiki diri seterusnya menjaga imej profesion keguruan negara kita. Gaji dan elaun serta penghargaan daripada masyarakat hanyalah ganjaran sementara yang diperolehi di dunia ini, namun ganjaran yang lebih utama menanti para guru yang mulia kelak.

Cabaran dan karenah persekitaran merupakan asam garam yang perlu dilalui oleh setiap guru. Mahu tidak mahu ianya pasti dan harus dilalui bukannya dielakkan. Emosi yang harmoni pasti menghasilkan hasil kerja berkualiti. Manakala, penglibatan warga pendidik dengan ahli masyarakat sebenarnya menguji daya tahan seorang guru mendepani masyarakat umum. Beruntung benar seseorang yang bergelar guru. Laksanakanlah tugas dengan ikhlas kerana setiap keringat yang dicurah pasti mendapat ganjaran dan dibalas.

Disediakan oleh:
MOHD FAIZ BIN AB MALEK
PISMP PA1

No comments:

Post a Comment