SEKSA MENJADI GURU
Sepanjang berada di alam persekolahan, sering kali
kedengaran guru-guru mengeluh dengan kerja-kerja guru ditambah pula dengan
kerja perkeranian. Adakah begitu berat sekali kerja yang dipikul oleh seorang
guru.
Jawapannya adalah “ya”. Tugas guru yang sebenar adalah
mengajar dan mendidik. Bukannya dibebani dengan tugas yang tiada kaitan dengan
proses pengajaran dan pembelajaran. Tugas perkeranian sepatutnya diserahkan
kepada orang yang mahir dengan kerja tersebut atau dengan erti kata lain, tugas
kerani atau pembantu guru. Mungkin ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati
dikalangan kerani dan pembantu guru, tetapi bayangkanlah jika guru terpaksa
meninggalkan waktu pengajaran dan pembelajaran gara-gara untuk menyiapkan
tugasan yang diberi oleh pihak sekolah sepantas yang mungkin. Murid-murid
terpaksa diberikan lembaran kerja sahaja walaupun ada guru yang menggantikan
kelas tersebut. Jika hanya sekali, mungkin tidak mengapa. Tetapi jika beberapa
kali bagaimana pula? Sudahnya guru dipersalahkan kerana tidak dapat
menghabiskan silibus ataupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
Persoalan demi persoalan telah diajukan kepada
guru-guru tanah air mengenai "Apakah kerja-kerja perkeranian yang pada
pandangan cikgu tidak releven dengan tugas perguruan, dan siapakah yang
sepatutnya melakukan tugas tersebut?"Soalan cepu emas daripada seorang
pensyarah.
Jawapan oleh guru-guru tanah air pula tidak kurang
hebatnya, “Bukan tidak releven, tapi kalau dah terlampau banyak, siapa pula nak
ajar murid.. kalau nak isi data atau sebagainya diberi tempoh tak apa,
kadang-kadang , jumaat sudah hendak diisi maklumat, selasa atau rabu baru dapat
maklumat. Kemudian sistem pula yang sentiasa berubah-ubah. Tahun ini dah masukkan
data, tahun depan masukkan data lagi sebab sistem dah lain, kerja-kerja perkeranian
yang banyak ni kadang-kadang menyebabkan cikgu tak cukup masa nak buat bahan pengajaran
dan pembelajaran. Itu belum lagi masuk bab aktiviti kokurikulum, latihan sukan,
pertandingan-pertandingan, contohnya macam Educational Management Information
System (EMIS), sudah terdapat maklumat guru di dalam EMIS dan ada pada kerani
sekolah, guru-guru masih lagi dikehendaki mengisi borang maklumat guru. Jadi
apa gunanya sistem yg dibuat.”
Semua perkara dan kerja perlu disiapkan segera bak
kata orang putih, 'Ontime!'. Andai kata tugas perkeranian diberikan bulat-bulat
kepada kerani pun, kerani belum tentu menang tangan dengan kerja yang sedia
ada. Tak lupa juga sistem yang selalu berubah-ubah menyebabkan guru pening
kepala. Daripada pergi kursus yang ini terpaksa pula pergi ke kursus yang itu.
Dari Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) ke Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR). Dari buat fail KBSR tukar pulak ke fail KSSR. Dari Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) ke Program Saringan
Literasi dan Numerasi (LINUS) pula dan terpaksa buka fail baru lagi. Bukan nak
mengeluh tetapi itulah hakikat yang perlu diterima oleh seseorang yang bergelar
sebagai guru. Terlalu banyak perubahan oleh kerajaan semata-mata untuk mengejar
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),
Transformasi Negara dan sebagainya.
Pernah seorang guru berkata, “ Guru
kena menjaga, mengemas, menceria, data stok dan inventori, menyelenggara,
merekod bilik-bilik khas seperti makmal komputer, pusat akses, pusat sumber,
bilik gerakan, bengkel Kemahiran Hidup, bilik bahasa, bilik Guru Besar, bilik
kokurikulum, koperasi. Guru juga kena menguruskan biasiswa, data murid dan
guru, pengagihan buku teks, penyediaan padang, yuran dan resit, semuanya adalah
kerja harian sebagai seorang guru. Jadi masa tiada kelas tak dapat nak buat
persediaan utk mengajar seperti sediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, alat
bantu mengajar dan sebagainya kerana terpaksa selesaikan pelbagai urusan bukan
berkaitan pengajaran dan pembelajaran hingga kadangkala apabila masuk kelas
baru terfikir hendak mengajar apa. Bukan
tidak bersyukur dan merungut tetapi adakala melampaui kadar batasnya. Oleh
kerana itu guru bukan golongan profesional seperti doctor, jurutera, akauntan
atau pun peguam walaupun hakikatnya guru yang melahirkan mereka, kerana guru
bekerja rencam, tidak khusus bidang kepakaran sebagai seorang guru, susah untuk
mentakrif kerja guru sekarang ini, bila memberi pandangan atau komen dikata
guru banyak permintaan atau alasan dan apabila tugas diserah kpd kakitangan
sokongan boleh pula mereka menjawab tidak termasuk di dlm norma kerja,
persoalannya, apakah norma kerja seorang guru?”.
Guru sekarang tidak seperti guru yag bekerja 30 atau
40 tahun dahulu. Kerja perkeranian dahulu tidak seperti kerja perkeranian
sekarang. Ini merupakan fakta atau keadaan sebenar yang dihadapi di sekolah. Bila
mana anda bertanya kepada guru yang sudah berpengalaman mengajar selama 15
hingga 20 tahun, “Adakah mereka boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajaran
dan pembelajaran dan murid sahaja atau dibebani dengan kerja perkeranian
seperti sekarang?”. Saya yakin, ramai yang akan mengatakan "sangat
berbeza, kalau dahulu boleh fokus pada murid dan pengajaran dan pembelajaran tetapi
sekarang dah tak sempat nak buat macam-macam.". Hairan juga kerana
pendidikan pada zaman 60-an hingga 80-an tidak begitu rumit tetapi berjaya juga
melahirkan insan-insan yang berkualiti dari semua sudut.
Program yang dibuat dan dianjurkan oleh pihak kerajaan
dahulu juga tidak sama dengan program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan
sekarang. Semuanya berubah mengikut arus perdana. Dunia semakin moden membuatkan
tugas guru sudah lari dari tugas guru yang sebenar. Selain itu, kerajaan juga harus
mengambil serius dengan program yang dianjurkan. Ini kerana sekolah besar mempunyai
bilangan guru yang ramai dan sekolah kecil pula sebaliknya. Tetapi fail-failnya
tetap sama dan menjadikan tugas guru di sekolah kecil lebih berat dari guru
yang mengajar di sekolah yang besar. Seorang guru di sekolah kecil terpaksa
memegang dua hingga tiga jawatan yang penting. Walaubagaimana pun, tugas
perkeranian terpaksa jua disiapkan.
Apabila seseorang yang bukan dari golongan guru
menyuarakan pendapat tetang isu ini, jawapan yang diterima adalah sebaliknya. Sebetulnya,
hanya guru boleh menjawab isu yang dialami oleh guru. Orang yang bukan dari
bidang yang sama tidak mampu merasai apa yang guru rasa. Mereka hanya boleh
memberi gambaran sahaja. Apa yang difikirkan oleh mereka ialah, " dah bagi
betis nak peha, kerajaan dah bagi elaun, imbuhan macam-macam pun tidak
bersyukur". Harus diingat, imbuhan mahupun elaun yang diterima oleh
seorang guru tidak mampu menandingi duit yang dikeluarkan oleh guru setiap hari
bagi memastikan murid berjaya. Harus juga diingat bahawa duit fotostat, duit
minyak hantar pergi balik murid ke pertandingan-pertandingan sekolah, dan
sewaktu dengannya tidak mampu untuk diperkatakan. Tuntutan duit sekolah pula
kadang-kadang susah nak diberi. Jadi guru hanya menghalalkannya demi berbakti
kepada sekolah. Sesungguhnya guru adalah insan yang mulia dan susah untuk berkira kepada anak
muridnya. Akan tetapi ianya tetap dipandang remeh oleh sesetengah pihak.
Dalam laman web aliran pemikiran pernah mengatakan
bahawa guru kerja sebanyak 74 jam seminggu. “Guru di empat negeri, Selangor,
Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan,
iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan
Buruh Antarabangsa (ILO). Ini kerana
tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain,
pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan
pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima;
urusan hal ehwal murid.
Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005
itu, kaji selidik itu adalah antara usaha National Union Of The Teaching
Profession Malaysia (NUTP) memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya
sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru. Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas
kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani,
setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias.
Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau
apabila mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja pentadbiran.
Katanya, pertambahan beban tugas guru
dikhuatiri akan menyebabkan hala tuju sistem persekolahan negara lebih
mementingkan keputusan berasaskan peperiksaan, berbanding memupuk budaya
mencintai ilmu di kalangan pelajar.
Sistem persekolahan sepatutnya dapat memupuk budaya
mencintai ilmu di kalangan pelajar, tetapi ini dihalang oleh suasana guru yang
semakin kurang berinteraksi dengan pelajar. Guru kini selain mengejar waktu untuk
menghabiskan silibus mata pelajaran, memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran
pelajar menjawab soalan peperiksaan, katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Lok berkata, bilangan mata pelajaran semakin banyak
dan melalui Sistem Pensijilan Terbuka di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM), lebih 100 mata pelajaran ditawarkan kepada pelajar. Adakah kita hanya mahu menggalakkan pelajar
mendapat sebanyak mungkin A dalam peperiksaan. Jangan lupa bahawa aspek bukan
akademik juga penting. Ada pelajar tidak berminat aspek akademik, tetapi
mempunyai potensi dalam bidang lain, katanya.
Lok menegaskan bahawa guru ingin memberi tumpuan
kepada tugas mereka, iaitu mengajar. Bagaimanapun, katanya guru lebih
menghabiskan masa menguruskan data, fail, rekod dan laporan, menguruskan
pelbagai pertandingan kurikulum dan kokurikulum serta program akademik dan
bukan akademik di luar sekolah. Katanya,
guru kelas dibebankan dengan pelbagai kerja perkeranian dan hanya sedikit masa
digunakan untuk tujuan persediaan alat bantu mengajar dan rancangan mengajar
serta menyemak buku latihan pelajar.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian
Pelajaran melantik guru khas untuk mengendalikan kegiatan kurikulum dan
kokurikulum serta mewujudkan jawatan pembantu guru yang dapat menjalankan kerja
perkeranian.
Menurut sumber Berita Harian bertarikh 8 Disember
2009, ada sesetengah pihak menyalahkan guru sekolah kebangsaan (SK) kerana
dikatakan gagal mendidik murid berbanding guru sekolah rendah jenis kebangsaan
Cina (SJKC) yang kononnya cemerlang. Ada pihak mencadangkan guru SK dihantar
mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih. Ada
pertubuhan perguruan mempertikaikan kewibawaan guru SK dalam mendidik pelajar,
menuduh guru SK kurang memberi latihan kepada pelajar.
Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka yang
harus dipersalahkan dan mengkritik pula menjalankan tanggungjawab dengan
sempurna. Golongan ini langsung tidak melihat unsur lain yang menyebabkan
prestasi SK merosot. Sedarkah mereka SJKC hanya mengambil pelajar Cina pintar,
manakala sisanya dihantar ke SK. Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung guru
SK? Merekalah yang menjejaskan reputasi pendidik dengan membebankan guru SK dan
SMK dengan tugas perkeranian yang menimbun saban tahun.
Pengetua dan guru besar pula menekan guru untuk
menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran
Negeri agar mereka dapat gelaran cemerlang. Itu belum lagi tugas sebenar iaitu
pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang 'terganggu' oleh keperluan jabatan
lain seperti Jabatan Kesihatan atau Agensi Anti-Dadah Kebangsaan. Semua
keperluan ini patut dilakukan kerani, bukan guru kerana tugas sebenar mereka ialah
P&P. Namun, semua itu dilonggokkan ke bahu guru dengan alasan semakin
banyak kerja perkeranian, semakin profesionallah guru terbabit.
Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh
dikambinghitamkan sebagai jawapan kegagalan murid di SK. Antaranya ialah tiada tanggungjawab dan tidak
prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran dan kurang
kemudahan. Semua ini dapat diatasi jika profesionalisme sebenar perguruan
dikembalikan iaitu guru seratus peratus melaksanakan P&P.
Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat
penyelidikan banyaknya beban guru malah beliau mengungkapkan 'saya kasihan akan
guru saya' apabila hasil kajiannya mendapati guru 'diseksa' dengan kerja
perkeranian melambak-lambak.
Menurut sumber daripada forum Utusan Malaysia yang
bertarikh 10 Disember 2009, telah dijelaskan dengan lebih teliti mengenai beban
tugas kerja perkeranian. Contoh pertama ialah tugas guru kebajikan dan
biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah
guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu
pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa
bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada
guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid
boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.
Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka
perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan
memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan
dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya.
Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi
bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya
ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya
mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat
bantuan. Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua
‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa
yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu
P&P?
Contoh yang kedua, saya fikir hampir semua guru sedar
bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan
di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada
masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah
mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar
mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit
salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak
kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.
Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi
jenayah, guru diminta membuat satu kelab anti jenayah. Bila ada masalah dadah
pula, kita buat pula kelab anti dadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah
yang tidak boleh digabung dengan anti jenayah. Kemudian kita dapati murid kita
tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah
Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun
mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya?
Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru
perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat
perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar
pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan
ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.
Contoh yang ketiga ialah guru bertindak sebagai guru data.
Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor
diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus
dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru data
biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada
biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di
sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data
ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sudah
tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh
lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?
Contoh yang keempat ialah guru tingkatan. Guru
tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua
guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar
borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar
surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid
kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru
Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru
tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah,
guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru
tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu
walaupun sekolah ada tukang sapu swasta.
Sekarang ini kita ada sistem online yang mengumpul
data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru
dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga
maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu
mengisi kad 001. Untuk apa pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang
kelas tingkatan satu perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac.
Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir
semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah
juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru
masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu
juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta
ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?
Contoh yang kelima ialah guru perabot. Bila ada
masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak
dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang
baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid
meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak
pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot,
ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak, mereka macam buruh yang
kerja membuat bangunan.
Disediakan oleh:
ANAS BUKHARI BIN DERANI