Tuesday 4 September 2012

"Guru Ponteng Isu Serius"

ULASAN ARTIKEL

1.0  Pengenalan

Guru merupakan satu profesion yang mulia. Guru juga merupakan golongan yang cukup penting yang tidak hanya dapat memanusiakan manusia supaya akan lahir nanti generasi yang bukan sahaja dapat menyambung kelangsungan peradaban dan tamadun bangsa, tetapi yang lebih penting dan nyata ialah sejauh mana guru tersebut dapat berperanan mendidik murid -  muridnya untuk menjadi manusia dan rakyat yang berguna kepada negara suatu hari kelak. Guru perlu berpandangan positif terhadap semua murid - muridnya bagi memastikan keadilan dan kelangsungan sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku kepada semua muridnya.

            Justeru itu, menjadi pioriti bagi seorang guru tersebut sebelum melangkah masuk ke dalam bilik darjah bagi melengkapkan dirinya dengan nilai – nilai hidup yang positif, beretika mulia, berfikiran positif, dan sudah tentu dapat diteladani oleh murid – murid di sekolah. Ungkapan ”guru sebagai role model” bukan sesuatu yang retorik semata – mata tetapi mempunyai kesignifikannya dalam mempamerkan imej diri seorang pendidik dalam keseluruhan kehidupannya. Ini kerana kerjaya seorang guru bukan sahaja di sekolah, tetapi di mana – mana dengan sebutan mulia ”Cikgu”. Seorang guru sentiasa membawa imej guru ke mana sahaja tempat yang dituju.

            Amalan etika keguruan dan profesionalisme keguruan di Malaysia dibangunkan berdasarkan kepada falsafah, misi dan objektif yang hendak dicapai oleh Kementerian Pendidikan di Malaysia. Pembangunan etika guru ini adalah sebagai salah satu pendokong kepada sistem perkhidmatan awam, yakni Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui bersama oleh pihak pemimpin negara.  Ia menjadi panduan kepada pembentukan nilai – nilai dalam diri seseorang guru.

Berdasarkan panduan tonggak utama pendidikan di negara ini iaitu melalui Falsafah Pendidikan Negara, pendidikan itu sendiri dapat didefinisikan sebagai satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh seperti yang diungkapan dalam petikan di bawah:

”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”


            Jika ditafsirkan intipati Falsafah Pendidikan Negara, maka dapat disimpulkan bahawa pendidikan adalah menumpu kepada pembinaan fikiran yang bijaksana serta rasional selain membina jiwa manusia yang murni dalam kata lain ianya melibatkan intelek, rohani, emosi, jasmani dan juga sosial. Jelas di sini, pendidikan yang digambarkan dan diharapkan melalui Falsafah Pendidikan Negara adalah bagi membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti serta bertaraf dunia (world class) bagi memperkembangankan potensi individu secara keseluruhan dan sepenuhnya dan dapat memenuhi aspirasi dalam perkembangan kemajuan negara (Nazirmudin Ahmad,Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang & Azlita Yonus@Ahmad, 2005).


Matlamat mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini secara globalnya adalah merupakan tanggungjawab secara keseluruhannya semua warga kerja di sektor pendidikan. Justeru suatu etika kerja yang mantap perlu diamalkan untuk memastikan warga Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai sifat – sifat luhur, bertanggungjawab dan tahap profesionalisme yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamahkan sekaligus dapat melaksanakan misi dan visi yang menjadi keutamaan Kementerian Pelajaran Malaysia di negara ini.


2.0 Isu permasalahan guru (guru ponteng)

Baru – baru ini, seringkali profesion guru mendapat liputan yang meluas baik dari paparan media massa malahan ianya juga turut menerima tempias daripada media elektronik yang kian meluas secara globalnya di seluruh antero dunia. Antara isu yang menjadi perhatian utama masyarakat dan juga turut mencetus salah satu fenomena moden dalam bidang keguruan itu sendiri adalah melalui sudut etika dalam kerjaya seperti yang dinyatakan dalam petikan Borneo Post Online pada 24 Disember 2011. Antara intipati yang menjadi skop artikel yang terdapat di laman sesawang tersebut adalah seperti berikut :

RANAU: Kementerian Pelajaran menerusi Jabatan Pelajaran memandang serius   isu ketidakhadiran guru di sekolah,  tegas Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yasin.Beliau berkata hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas.“Pihak kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) berasa kesal dan memandang serius tentang ketidakhadiran guru ke sekolah,” katanya ketika ditemui di SMK Ranau, di sini.Muhiddin menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil, namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani sewajarnya.”
           

Mengikut kepada sebahagian daripada petikan artikel yang ditulis di laman sesawang tersebut, isu yang dibangkitkan adalah berfokuskan kepada permasalahan yang melibatkan kehadiran guru ke sekolah yang semakin membimbangkan organisasi sistem pendidikan itu sendiri. Pengiraan statistik yang diumumkan secara rasmi oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti menunjukkan bahawa bilangan guru yang tidak hadir ke sekolah atau dengan kata ringkasnya ponteng adalah terlalu ramai bilangannya. Ketidakhadiran guru tanpa alasan ini amat membimbangkan profesion perguruan ini.

Isu guru ponteng adalah suatu isu nasional dan mampu memberi implikasi kepada bukan sahaja kepada bidang pendidikan negara malah ianya turut menjejaskan potensi pembangunan mampan negara. Perlakuan guru yang ponteng sekolah tersebut bukan sahaja memburukan profesion ini di kaca mata pandangan masyarakat malah ianya juga turut mencerminkan bahawa segala etika dan asas profesionalisme yang telah diberikan sebagai garis panduan dalam menjalankan tugas tidak berjaya dipatuhi oleh mereka. Ini akan menjatuhkan maruah profesion perguruan itu sendiri. Masyarakat setempat akan mula memandang serong terhadap profesion ini.

Kerjaya guru merupakan satu kerjaya yang termasuk di dalam suatu profesion yang setanding dengan kerjaya – kerjaya lain seperti jurutera, akauntan dan lain – lain lagi. Mengikut Kamus Dewan Edisi Dwibahasa (2000), profesionalisme adalah suatu pekerjaan yang memerlukan latihan khas. Dalam Kamus Oxford (1999), profesionalisme ditakrifkan sebagai ciri – ciri sesuatu pekerjaan yang memerlukan latihan ikhtisas, seperti yang terdapat dalam profesionalisme perguruan, guaman, perubatan dan sebagainya.

Malah ciri – ciri profesion seperti yang dirujuk dari buku Pendidikan Mok Soong Sang (1993) adalah sebagai :

”Suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai automasi bertugas serta mematuhi kod etika yang telah ditetapkan oleh organisasinya”. (Hlm:. 215-216)

            Profesionalisme merupakan suatu ideologi yang bertujuan dalam memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi dan boleh dipercayai. Malah sebagai salah suatu kerjaya yang bekerja bagi membina generasi masa hadapan, profesion keguruan ini turut dapat dinaikkan imej dan tarafnya melalui kualiti dan mutu profesionalismenya yang tersendiri dan dapat dibezakan oleh masyarakat dengan profesion – profesion yang lain. Oleh itu penting bagi seluruh warga pendidik yang bergelar guru bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memiliki pengetahuan yang lengkap serta mendalam, menguasai kemahiran mengajar, mempunyai kefahaman terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta mempunyai sikap positif terhadap pekerjaannya (Kamarudin Hj, Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 2004) .

            Isu permasalah guru yang dibincangkan melalui petikan artikel di laman sesawang Borneo Post Onlie tersebut dapat menunjukkan bahawa kesemua guru yang tidak hadir ke sekolah atau ponteng sekolah adalah sebagai individu yang tidak memahami profesionnya serta tidak bertanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan itu sendiri. Mereka bukan sahaja tidak mematuhi panduan landasan profesionalisme bidang perguruan malah turut tidak mengamalkan etika kerja yang telah termaktub di dalam etika perguruan selaras dengan apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

            Profesionalisme meliputi aspek akaunbiliti yang didalamnya terangkum keseluruhan aspek yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh warga pendidik. Mengikut Kamus Dewan Edisi Dwibahasa (1999), perkataan akaunbiliti itu dapat ditakrifkan sebagai bertanggungjawb kepada seseorang atau bertanggungjawab terhadap sesuatu. Dalam konteks keguruan pula, akaunbiliti boleh dirumuskan sebagai bertanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan (Arbak Othman, 1998).

            Manakala akaunbiliti seseorang guru terhadap profesionnya boleh dilihat melalui laporan rasmi yang dikemukan oleh sekumpulan penilai bebas tentang pandangan mereka terhadap pencapaian atau prestasi guru semasa melaksanakan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawab. Keadaan ini merupakan situasi yang sama seperti yang dinyatakan di dalam artikel yang dirujuk pada isu guru ponteng sekolah ini, di mana pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) yang menjalankan pemantauan mereka di sekolah – sekolah kawasan sekitar negeri Sabah mengemukakan laporan rasmi mengenai fenomena pasca baru permasalahan guru kini.

            Aspek akaunbiliti merupakan bidang yang mempunyai pelbagai cabang yang terkandung di dalamnya. Akuanbiliti seorang guru boleh dikenalpasti melalui cabang – cabang bahagian seperti bahagian pekerjaan, sekolah, tingkah laku, murid dan akhirnya profesion (Ibrahim Mamat, 2000). Fenomena isu ponteng sekolah di kalangan guru seperti yang dilaporkan oleh artikel di Borneo Post Online, menunjukkan bahawa keseluruhan bahagian didalam akaubiliti ini telah menerima implikasi negatifnya.

            Guru yang tidak hadir ke sekolah atau ponteng ini telah menjejaskan pioriti utama bahagian pekerjaannya dalam konteks akaunbiliti profesionalisme itu sendiri. Sebagai seorang pendidik guru bertanggungjawab terhadap pekerjaannya, iaitu akaunbiliti terhadap kurikulum yang ditugaskan untuk dilaksanakan dengan jayanya dalam sistem organisasi sekolah. Ia boleh menyebabkan sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut terjejas kerana kekurangan guru. Ketiadaaan guru gantian menyebabkan kelas dalam keadaan kucar – kacir.

Oleh yang demikian menjadi keutamaan dan pioriti bagi guru supaya dapat memahami kurikulum sekolah secara mendapat agar segala pelaksanaannya dapat dijalankan dengan sempurna dan lancar tanpa sebarang kesilapan. Jelas dapat dilihat disini, guru yang melakukan gejala ponteng kerja tersebut dapat dilihat sebagai seorang yang tidak memahami misi dan visi kurikulum yang telah dirancang sebaik – baiknya oleh pihak pendidikan. Maka menjadi tugas mereka agar selepas ini segala intipati kurikulum negara dapat difahami dengan sebaiknya.
           
            Sekolah pula merupakan suatu organisasi dimana seseorang guru itu menjalankan tugasnya. Oleh itu, guru juga bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak pentadbiran sekolah. Sebagai salah seorang ahli dalam sesebuah sekolah, guru mempunyai akaunbiliti terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar di dalam bilik darjah, guru turut dikehendaki menjalankan tugas – tugas seperti guru displin, kaunselor, setiausaha peperiksaan, pengerusi skim pinjaman buku teks dan jawatan – jawatan lain yang dilantik oleh pihak pentadbir sekolah.

Ketidakhadiran guru di sekolah mendatangkan implikasi yang teruk dimana segala kelancaran pengurusan sistem organisasi sekolah akan terjejas dan ianya merupakan isu yang serius seperti salah satu bahagian di dalam artikel isu guru ponteng sekolah yang diambil dari artikel Borneo Post Online :

“Pihak kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) berasa kesal dan memandang serius tentang ketidakhadiran guru ke sekolah,” katanya ketika ditemui di SMK Ranau, di sini.Muhiddin menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil, namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani sewajarnya”

            Tingkah laku sebagai seorang guru amat dititikberatkan dalam menjamin mutu dan kualiti yang diberikan sebagai output kepada kerjaya perguruan itu sendiri. Hal ini adalah kerana tingkah laku guru adalah contoh kepada murid – murid yang menjadi klien sepanjang masa guru di sekolah. Oleh itu, seorang guru harus memaparkan serta mempunyai sifat – sifat yang terpuji dan boleh menjadi teladan kepada murid – muridnya. Membina sebuah generasi sudah menjadi keutamaan seorang guru di dalam bidang kerjaya ini. Maka segala perlakuan baik dari segi berpakaian mahupun sahsiah guru haruslah sentiasa positif bagi memberi kesan yang dapat mewujudkan individu yang mengamalkan nilai – nilai murni yang baik seperti yang menjadi misi Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan generasi yang seimbang dari keseluruhan aspek termasuk sosialnya.

            Oleh itu,bagi menangani permasalahan ponteng sekolah dikalangan guru ini, terdapat salah satu penyelesaian yang dirancangkan oleh pihak pentadbiran pendidikan di negara ini yang dinyatakan didalam artikel yang sama seperti berikut :

“Dengan itu, juga difikirkan keperluan untuk JPNS mewujudkan satu lagi program iaitu Program AKUN yang bakal dilaksanakan pada tahun 2012-2016. Ia bertujuan meningkatkan peratusan kehadiran guru di sekolah sekaligus memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat pekeliling dan peraturan di semua peringkat, menerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir,” katanya.Menurut Muhiddin lagi, program itu yang bersifat serampang empat mata akan menekankan pemantapan kualiti perkhidmatan di peringkat sekolah yang menjadi cermin kejayaan dan pencapaian sebenar pendidikan”.

            Berdasarkan isu ini juga, aspek etika kerja khususnya etika kerja perguruan itu secara terang – terang telah dilanggar oleh sebilangan pendidik yang ponteng dari melaksanakan tugas mereka di sekolah tersebut. Jika ditafsirkan secara umum setiap profesion pekerjaan mempunyai etikanya yang tersendiri. Etika ialah suatu sistem dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek – aspek moral yang baik dan yang buruk, yang betul dan yang salah dan memberi garis panduan kepada ahli bidang profesion berkenaan. Masyarakat menggunakan etika ini untuk menganalisa, menilai dan menentukan sama ada tingkah laku manusia yang menunjukkan moral telah mengikut adat dan kebiasaan yang diamalkan (Syed Zulfida Syed Md. Noor, 1991).

            Bagi dalam profesion perguruan pula, setiap seorang individu yang bergelar pendidik dikehendaki bagi mematuhi etika itu sendiri demi menjada status, akhlak dan maruah dalam profesionnya. Bagi tujuan tersebut Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan Ikrar dan Tatasusila Profesion Perguruan untuk dijadikan sebagai landasan dan garis panduan setiap guru menjaga imej bidang profesion ini. Perkara ini amat penting supaya imej perguruan ini dapat dijaga di samping dapat meningkatkan mutu profesion pendidikan.

Tatasusila profesion perguruan merupakan suatu garis panduan atau kod – kod tingkahlaku yang perlu dipatuhi oleh semua orang yang menggelar dirinya sebagai pendidik khususnya di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Tatasusila tersebut telah dibahagikan kepada empat bidang tanggungjawab yang utama iaitu tanggungjawab kepada murid, ibubapa, masyarakat dan negara dan juga rakan sejawat serta profesion itu sendiri (Nazirmudin Ahmad,Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang & Azlita Yonus@Ahmad, 2005). Maka jika dilihat fenomena isu ponteng sekolah di kalangan guru, maka dapat disimpulkan bahawa secara terang – terangkan mereka telah melanggar etika kerja di dalam bidang perguruan secara langsung.

            Seorang guru yang ponteng dilihat sebagai seorang guru yang tidak mempunyai sifat dan kualiti baik dari segi dalaman mahupun luaran yang perlu bagi seseorang pendidik untuk dipandang tinggi serta dihormati oleh masyarakat. Etika kerja yang telah dilanggar menunjukkan bahawa guru tersebut tidak mempunyai sifat dan kualiti seperti bertanggungjawab dan berkepimpinan. Sifat dan kualiti bertanggungjawab dapat memberi panduan kepada seseorang guru tersebut agar sentiasa mementingkan tugasnya yang telah diamanahkan untuk dilaksanakan dengan sempurna, namun dalam situasi ponteng kerja di sekolah ini, guru yang melakukannya seolah – olah dilihat tidak mengendahkan sifat dan kualiti yang perlu ada pada diri mereka selaku pendidik ini.

            Sementara itu, untuk sifat dan kualiti kepimpinan pula, seseorang guru tersebut haruslah mewarisi sifat kepimpinan supaya muridnya dapat mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru tersebut. Dengan kualiti kepimpinan ini guru bukan sahaja dapat melicinkan aktiviti pembelajaran malah dapat mengubah dan mempengaruhi tingkah laku murid – muridnya. Namun, jika individu yang harus menggalas tonggak kepimpinan ini sendiri tidak hadir ke sekolah, maka segala implikasi negatif baik dari segi murid malah kepada pihak sekolah itu sendiri. Oleh yang demikian jika dirujuk kepada artikel di Borneo Post Online, harapan pihak pentadbir pendidikan mengharapkan agar melalui sistem baru yang diperkenalkan bukan sahaja gejala isu permasalahan guru ini dapat diatasi malah ianya juga dapat melonjakkan mutu institusi pendidikan di negara ini :

”Dengan tema ‘Transformasi Sikap Ke Arah Integriti’, katanya, program itu menyediakan ruang bagi kakitangan Jabatan Pelajaran untuk mentransformasikan sikap ke arah lebih bertanggungjawab, komited dan berintegriti.“Program AKUN ini juga tentunya memberi ruang dan peluang kepada pentadbir di sekolah dan PPD memberi khidmat serta bimbingan dengan lebih terus, bersepadu dan komprehensif,” jelas Muhiddin dan mengharapkan kepada semua warga pendidikan supaya membuat penilaian kendiri bagi meningkatkan kopetensi dalam pengajaran di dalam kelas kerana setiap orang akan dipantau, seterusnya mampu menangani isu ketidakhadiran guru di sekolah”.

3.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, fenomena isu permasalah guru ponteng sekolah ini merupakan isu yang harus dipandang serius oleh semua pihak. Tidak dinafikan profesion perguruan menuntut guru – guru bukan sahaja terlibat dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah semata – mata, tetapi seorang guru yang beretika seharusnya sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negaranya. Hal ini kerana guru merupakan ikon kepada agen ”role model”  bukan sahaja kepada muridnya tetapi kepada seluruh masyarakat.

Oleh yang demikian tidak dapat dinafikan tugas dan tanggungjawab guru adalah berat dalam usaha membentuk generasi negara masa depan yang mampun menangani segala perubahan dan tuntutan masa. Maka iltizam, semangat dan sikap yang positif sahaja yang mampu menonjol imej guru yang dapat memainkan peranan yang cukup berkesan. Kepelbagaian tugas, tanggungjawab inilah memberi cabaran pada guru bagi meningkatkan segala kualiti, sifat mahupun akaunbiliti kepada bidang profesionalisme ini agar ianya terus dipandang megah oleh masyarakat dan dapat mendukung hasrat negara bagi menaikkan mutu pendidikan negara setaraf antarabangsa.


Bibliografi

Buku Ilmiah :
Arbak Othman (1998), Kamus Pelajar Baru, Kuala Lumpur:  
         Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 
                Ibrahim Mamat (2000), Etika Untuk Mahasiswa, Kuala Lumpur: Kumpulan  
                         Budiman Sdn. Bhd

Kamarudin Hj, Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (2004), Pedagogi Asas

        Pendidikan, Kuala Lumpur: Kayazano Enterprise
Nazirmudin Ahmad,Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang & Azlita Yonus@Ahmad
                        (2005), Penghantar Etika Edisi Ketiga, Kuala Lumpur : Pustaka Salam

Laman Sesawang :

http://www.theborneopost.com/2011/12/24/guru-ponteng-isu-serius/  yang telah diakses pada 11 Ogos 2012

Oleh : MOHAMMAD SHAFIQ BIN BASERI

No comments:

Post a Comment