Wednesday 5 September 2012


SEKSA MENJADI GURU


Sepanjang berada di alam persekolahan, sering kali kedengaran guru-guru mengeluh dengan kerja-kerja guru ditambah pula dengan kerja perkeranian. Adakah begitu berat sekali kerja yang dipikul oleh seorang guru.

Jawapannya adalah “ya”. Tugas guru yang sebenar adalah mengajar dan mendidik. Bukannya dibebani dengan tugas yang tiada kaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Tugas perkeranian sepatutnya diserahkan kepada orang yang mahir dengan kerja tersebut atau dengan erti kata lain, tugas kerani atau pembantu guru. Mungkin ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan kerani dan pembantu guru, tetapi bayangkanlah jika guru terpaksa meninggalkan waktu pengajaran dan pembelajaran gara-gara untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pihak sekolah sepantas yang mungkin. Murid-murid terpaksa diberikan lembaran kerja sahaja walaupun ada guru yang menggantikan kelas tersebut. Jika hanya sekali, mungkin tidak mengapa. Tetapi jika beberapa kali bagaimana pula? Sudahnya guru dipersalahkan kerana tidak dapat menghabiskan silibus ataupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Persoalan demi persoalan telah diajukan kepada guru-guru tanah air mengenai "Apakah kerja-kerja perkeranian yang pada pandangan cikgu tidak releven dengan tugas perguruan, dan siapakah yang sepatutnya melakukan tugas tersebut?"Soalan cepu emas daripada seorang pensyarah.

Jawapan oleh guru-guru tanah air pula tidak kurang hebatnya, “Bukan tidak releven, tapi kalau dah terlampau banyak, siapa pula nak ajar murid.. kalau nak isi data atau sebagainya diberi tempoh tak apa, kadang-kadang , jumaat sudah hendak diisi maklumat, selasa atau rabu baru dapat maklumat. Kemudian sistem pula yang sentiasa berubah-ubah. Tahun ini dah masukkan data, tahun depan masukkan data lagi sebab sistem dah lain, kerja-kerja perkeranian yang banyak ni kadang-kadang menyebabkan cikgu tak cukup masa nak buat bahan pengajaran dan pembelajaran. Itu belum lagi masuk bab aktiviti kokurikulum, latihan sukan, pertandingan-pertandingan, contohnya macam Educational Management Information System (EMIS), sudah terdapat maklumat guru di dalam EMIS dan ada pada kerani sekolah, guru-guru masih lagi dikehendaki mengisi borang maklumat guru. Jadi apa gunanya sistem yg dibuat.”

Semua perkara dan kerja perlu disiapkan segera bak kata orang putih, 'Ontime!'. Andai kata tugas perkeranian diberikan bulat-bulat kepada kerani pun, kerani belum tentu menang tangan dengan kerja yang sedia ada. Tak lupa juga sistem yang selalu berubah-ubah menyebabkan guru pening kepala. Daripada pergi kursus yang ini terpaksa pula pergi ke kursus yang itu. Dari Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) ke Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Dari buat fail KBSR tukar pulak ke fail KSSR. Dari Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) ke Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) pula dan terpaksa buka fail baru lagi. Bukan nak mengeluh tetapi itulah hakikat yang perlu diterima oleh seseorang yang bergelar sebagai guru. Terlalu banyak perubahan oleh kerajaan semata-mata untuk mengejar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Transformasi Negara dan sebagainya.

            Pernah seorang guru berkata, “ Guru kena menjaga, mengemas, menceria, data stok dan inventori, menyelenggara, merekod bilik-bilik khas seperti makmal komputer, pusat akses, pusat sumber, bilik gerakan, bengkel Kemahiran Hidup, bilik bahasa, bilik Guru Besar, bilik kokurikulum, koperasi. Guru juga kena menguruskan biasiswa, data murid dan guru, pengagihan buku teks, penyediaan padang, yuran dan resit, semuanya adalah kerja harian sebagai seorang guru. Jadi masa tiada kelas tak dapat nak buat persediaan utk mengajar seperti sediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, alat bantu mengajar dan sebagainya kerana terpaksa selesaikan pelbagai urusan bukan berkaitan pengajaran dan pembelajaran hingga kadangkala apabila masuk kelas baru terfikir hendak mengajar apa.  Bukan tidak bersyukur dan merungut tetapi adakala melampaui kadar batasnya. Oleh kerana itu guru bukan golongan profesional seperti doctor, jurutera, akauntan atau pun peguam walaupun hakikatnya guru yang melahirkan mereka, kerana guru bekerja rencam, tidak khusus bidang kepakaran sebagai seorang guru, susah untuk mentakrif kerja guru sekarang ini, bila memberi pandangan atau komen dikata guru banyak permintaan atau alasan dan apabila tugas diserah kpd kakitangan sokongan boleh pula mereka menjawab tidak termasuk di dlm norma kerja, persoalannya, apakah norma kerja seorang guru?”.

Guru sekarang tidak seperti guru yag bekerja 30 atau 40 tahun dahulu. Kerja perkeranian dahulu tidak seperti kerja perkeranian sekarang. Ini merupakan fakta atau keadaan sebenar yang dihadapi di sekolah. Bila mana anda bertanya kepada guru yang sudah berpengalaman mengajar selama 15 hingga 20 tahun, “Adakah mereka boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran dan murid sahaja atau dibebani dengan kerja perkeranian seperti sekarang?”. Saya yakin, ramai yang akan mengatakan "sangat berbeza, kalau dahulu boleh fokus pada murid dan pengajaran dan pembelajaran tetapi sekarang dah tak sempat nak buat macam-macam.". Hairan juga kerana pendidikan pada zaman 60-an hingga 80-an tidak begitu rumit tetapi berjaya juga melahirkan insan-insan yang berkualiti dari semua sudut. 

Program yang dibuat dan dianjurkan oleh pihak kerajaan dahulu juga tidak sama dengan program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sekarang. Semuanya berubah mengikut arus perdana. Dunia semakin moden membuatkan tugas guru sudah lari dari tugas guru yang sebenar. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil serius dengan program yang dianjurkan. Ini kerana sekolah besar mempunyai bilangan guru yang ramai dan sekolah kecil pula sebaliknya. Tetapi fail-failnya tetap sama dan menjadikan tugas guru di sekolah kecil lebih berat dari guru yang mengajar di sekolah yang besar. Seorang guru di sekolah kecil terpaksa memegang dua hingga tiga jawatan yang penting. Walaubagaimana pun, tugas perkeranian terpaksa jua disiapkan.

Apabila seseorang yang bukan dari golongan guru menyuarakan pendapat tetang isu ini, jawapan yang diterima adalah sebaliknya. Sebetulnya, hanya guru boleh menjawab isu yang dialami oleh guru. Orang yang bukan dari bidang yang sama tidak mampu merasai apa yang guru rasa. Mereka hanya boleh memberi gambaran sahaja. Apa yang difikirkan oleh mereka ialah, " dah bagi betis nak peha, kerajaan dah bagi elaun, imbuhan macam-macam pun tidak bersyukur". Harus diingat, imbuhan mahupun elaun yang diterima oleh seorang guru tidak mampu menandingi duit yang dikeluarkan oleh guru setiap hari bagi memastikan murid berjaya. Harus juga diingat bahawa duit fotostat, duit minyak hantar pergi balik murid ke pertandingan-pertandingan sekolah, dan sewaktu dengannya tidak mampu untuk diperkatakan. Tuntutan duit sekolah pula kadang-kadang susah nak diberi. Jadi guru hanya menghalalkannya demi berbakti kepada sekolah. Sesungguhnya guru adalah insan yang  mulia dan susah untuk berkira kepada anak muridnya. Akan tetapi ianya tetap dipandang remeh oleh sesetengah pihak.

Dalam laman web aliran pemikiran pernah mengatakan bahawa guru kerja sebanyak 74 jam seminggu. “Guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).  Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain, pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.

Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005 itu, kaji selidik itu adalah antara usaha National Union Of The Teaching Profession Malaysia (NUTP) memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru.  Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias.

Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja pentadbiran.  Katanya, pertambahan beban tugas guru dikhuatiri akan menyebabkan hala tuju sistem persekolahan negara lebih mementingkan keputusan berasaskan peperiksaan, berbanding memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar.

Sistem persekolahan sepatutnya dapat memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar, tetapi ini dihalang oleh suasana guru yang semakin kurang berinteraksi dengan pelajar.  Guru kini selain mengejar waktu untuk menghabiskan silibus mata pelajaran, memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran pelajar menjawab soalan peperiksaan, katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Lok berkata, bilangan mata pelajaran semakin banyak dan melalui Sistem Pensijilan Terbuka di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lebih 100 mata pelajaran ditawarkan kepada pelajar.  Adakah kita hanya mahu menggalakkan pelajar mendapat sebanyak mungkin A dalam peperiksaan. Jangan lupa bahawa aspek bukan akademik juga penting. Ada pelajar tidak berminat aspek akademik, tetapi mempunyai potensi dalam bidang lain, katanya.

Lok menegaskan bahawa guru ingin memberi tumpuan kepada tugas mereka, iaitu mengajar. Bagaimanapun, katanya guru lebih menghabiskan masa menguruskan data, fail, rekod dan laporan, menguruskan pelbagai pertandingan kurikulum dan kokurikulum serta program akademik dan bukan akademik di luar sekolah.  Katanya, guru kelas dibebankan dengan pelbagai kerja perkeranian dan hanya sedikit masa digunakan untuk tujuan persediaan alat bantu mengajar dan rancangan mengajar serta menyemak buku latihan pelajar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelajaran melantik guru khas untuk mengendalikan kegiatan kurikulum dan kokurikulum serta mewujudkan jawatan pembantu guru yang dapat menjalankan kerja perkeranian.

Menurut sumber Berita Harian bertarikh 8 Disember 2009, ada sesetengah pihak menyalahkan guru sekolah kebangsaan (SK) kerana dikatakan gagal mendidik murid berbanding guru sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang kononnya cemerlang. Ada pihak mencadangkan guru SK dihantar mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih. Ada pertubuhan perguruan mempertikaikan kewibawaan guru SK dalam mendidik pelajar, menuduh guru SK kurang memberi latihan kepada pelajar.

Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka yang harus dipersalahkan dan mengkritik pula menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Golongan ini langsung tidak melihat unsur lain yang menyebabkan prestasi SK merosot. Sedarkah mereka SJKC hanya mengambil pelajar Cina pintar, manakala sisanya dihantar ke SK. Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung guru SK? Merekalah yang menjejaskan reputasi pendidik dengan membebankan guru SK dan SMK dengan tugas perkeranian yang menimbun saban tahun.

Pengetua dan guru besar pula menekan guru untuk menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri agar mereka dapat gelaran cemerlang. Itu belum lagi tugas sebenar iaitu pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang 'terganggu' oleh keperluan jabatan lain seperti Jabatan Kesihatan atau Agensi Anti-Dadah Kebangsaan. Semua keperluan ini patut dilakukan kerani, bukan guru kerana tugas sebenar mereka ialah P&P. Namun, semua itu dilonggokkan ke bahu guru dengan alasan semakin banyak kerja perkeranian, semakin profesionallah guru terbabit.

Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh dikambinghitamkan sebagai jawapan kegagalan murid di SK.  Antaranya ialah tiada tanggungjawab dan tidak prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran dan kurang kemudahan. Semua ini dapat diatasi jika profesionalisme sebenar perguruan dikembalikan iaitu guru seratus peratus melaksanakan P&P.

Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat penyelidikan banyaknya beban guru malah beliau mengungkapkan 'saya kasihan akan guru saya' apabila hasil kajiannya mendapati guru 'diseksa' dengan kerja perkeranian melambak-lambak.

Menurut sumber daripada forum Utusan Malaysia yang bertarikh 10 Disember 2009, telah dijelaskan dengan lebih teliti mengenai beban tugas kerja perkeranian. Contoh pertama ialah tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.

Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan. Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?

Contoh yang kedua, saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.

Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab anti jenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab anti dadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan anti jenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh yang ketiga ialah guru bertindak sebagai guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?

Contoh yang keempat ialah guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta.

Sekarang ini kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan satu perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?

Contoh yang kelima ialah guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak, mereka macam buruh yang kerja membuat bangunan.


Kesimpulannya ialah tidak perlulah menuding jari antara satu pihak dengan pihak yang lain, ada baiknya semua pihak duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh semua guru di negara ini. Ini kerana guru merupakan agen masyarakat yang mampu mendidik anak murid sehingga menjadi orang yang mampu memimpin sesebuah negara. Oleh yang demikian, semua pihak perlu memberi kerjasama terhadap guru-guru di sekolah dan bukannya terus menyalahkan guru tersebut jika dia memberi sedikit komen atau pandangan mengenai bidang tugas yang diterimanya. Keputusan  yang dibuat akan menghasilkan penyelesaian masalah beban tugas guru dan dapat memfokuskan semula tugas guru iaitu mendidik murid-murid dalam pengajaran dan pembelajaran dan mengkecilkan kerja guru dari sudut perkeranian.

Disediakan oleh:  

ANAS BUKHARI BIN DERANI

2 comments:

  1. Betul, saya setuju semua pandangan cikgu.Memang tiada orang akan membantu mengubah nasib guru begini.....Kasihan tidak dapat membantu dan meringankan beban guru hanya panggil pihak yang berkuasa menjadi guru tiga bulan barulah mereka tahu susahnya kerja guru.

    ReplyDelete